"Kan banyak kerja dekat pekan tu. Pegi la apply," aku terdiam mendengar kata yang diucapkan oleh satu-satunya adikku itu.
 
Sejujurnya aku terasa hati. Adikku  sayang. Bosankah engkau kerana sering melihatku di rumah kita yang tidak  seberapa ini? Bosankah lidahmu menjamah masakanku setiap pagi, tengah  hari, dan malam? Adakah aku menyemak di dalam hidupmu?
 
Aku tersengih lantas menjauhkan diri  darinya. Abang cuma diam membisu. Tidakkah engkau ingin mengatakan  sesuatu untuk membelaku wahai abang?
Adikku, apakah dirimu bosan mendengar  nasihatku? Ku harap dirimu menjadi matang. Apabila di suruh ibu, engkau  berpura-pura tidur lantas berpura-pura itu menjadi benar. Engkau  benar-benar tidur. Akhirnya, aku yang mengerjakan apa yang di suruh ibu.
 
Aku tidak merungut dik. Tapi  sejujurnya aku kecewa dengan sikapmu. Aku berusaha memahami dirimu  sehinggalah bila engkau melukai hatiku, aku tidak akan membalas. Pernah  berkali-kali ibu memintamu mengangkat sebaldi air untukku tetapi tidak  engkau laksanakan. Tak mengapa dik, ia telah berlalu dan aku  juga tidak mengharap padamu ketika itu. Lalu dengan bersusah payah  diriku memaksa kakiku yang bengkak melangkah mengangkat sebaldi air  kerana sudah dua hari diri ini tidak mandi.
 
Adikku sayang, engkau dengan malu-malunya  menerima wang RM50.00 dariku. Aku tersengih. Beberapa minggu kemudian,  engkau dengan malu-malu meminjam lagi RM50.00. Engkau berjanji akan  membayarnya bila mendapat biasiswa nanti. Aku tersenyum lagi. Ku tahu  benar sikapmu sayang. Dalam hati aku menghalalkan wang itu. Padaku,  apalah nilainya sekeping kertas yang tertera "RM 50.00"  itu dibanding  dengan dirimu. Kita hidup bersama hampir 18 tahun. Duit itu baru singgah  beberapa hari dalam hidupku. Tak mengapa dik. Engkau gunalah wang itu untuk membeli top up  dan sebagai tambang pulang dari sekolah. Walaupun aku sebenarnya  mengharap dirimu membeli buku latih tubi yang harganya engkau juga tahu  ianya lebih murah dari top up RM 5.00 itu.
Adikku, jangan bersedih. Engkau tidak  buruk pada pandangan mataku. Cuma diri ini sedikit kecewa. Engkau  mempunyai paras yang kacak, sopan tutur bicara dengan orang tua selain  dari ibu kita yang telah tua dan kurus tubuhnya itu. Aku kecewa kerana  sikapmu itu tidak engkau kekalkan di rumah. Padahal kami lebih  memerlukan sikapmu itu.
 
Adikku, dua tahun lalu diri ini  melanjutkan pelajaran ke IPTS. Apabila diri ini pulang bercuti atau  pulang kerana menguruskan pinjaman, terkadang ibu tiada di rumah. Ibu ke  kebun seorang diri tanpa di temani sesiapa. Betapa pilu hatiku.
 
Satu hari aku ke hutan mencari orkid  dengan ibu untuk di jual di pasar. Ibu luahkan segala-galanya. Air  mataku hampir menitik. Tapi aku kuatkan semangat. Tak mungkin ku  tunjukkan air mata ini di hadapanmu ibu. Aku tak mahu engkau menyesal  menceritakan semua itu kepadaku.
Aku melihat ada riak-riak kecewa pada  raut muka ibu. Ibu kata kakak begitu begini. Ibu kata abang begitu  begini. Mereka semua menghalang ibu masuk ke hutan dan pergi ke kebun  untuk mengorek halia. Jangan risau adikku, ibu tidak menyebut dirimu.  Bukan kerana engkau membantu ibu. Tapi engkau tinggal di asrama ketika  itu.
 
Ibu berkata lagi, "Diorang tak suruh ibu pegi kebun, suruh duduk rumah je. Tapi kenapa diorang tak pergi kebun? Kenapa tak temankan ibu ke kebun?"
 
Aku terdiam. Cuba menahan air mata. Adikku, bayangkanlah kekecewaan ibu. Ibu menyambung bicaranya, "Diorang tak fikir ke kalau ibu duduk rumah je, diorang nak makan apa? Pandai cakap je tapi taknak tolong."
 
Aku tidak sanggup melihat ibu berterusan  begitu. Lalu aku mengubah topik. Aku cuba membuat lawak. Aku tahu ibu  memaksa tawanya berderai. Di hutan itu aku dan ibu memakan bekal nasi  putih dengan ikan masin. Jangan menangis dik. Cerita ini ku tulis bukan untuk mengalirkan air matamu.
Dik, banyak lagi perbualan  antara aku dan ibu di dalam hutan sana. Tapi aku tidak mahu  mendedahkannya lagi. Bimbang engkau akan mengambil keputusan seperti  diriku.
Bulan sudah engkau mengatakan abang long menyuruhmu memasuki Tingkatan Enam Rendah. Tawaran itu juga pernah diberikan kepadaku setelah aku mengambil keputusan untuk berhenti dari kolej. Abang long kata, dia akan tanggung pembelajaranku. Katanya, masuk dekat sekolah swasta dulu sebelum tukar sekolah kerajaan. Tetapi aku menolak.
Adikku, aku tidak mahu menanyakan soalan itu. Tapi kerana tidak ada apa lagi yang hendak di bicarakan aku bertanya juga.
 
"Dia kata jangan jadi macam saya kan?"
"Iya" jawabnya ringkas sambil tersengih. Ah, engkau memang selalu tersengih. Aku juga begitu sebenarnya.
 
Biarlah. Mereka tidak tahu apa yang aku fikirkan. Aku juga tidak mahu mereka memikirkannya. Cukuplah Allah sahaja yang tahu.
Adikku, pada suatu petang semasa berada  di dalam kebun mak berkata, "Kita kena pulang awal. Mak tak tahan lagi."  Aku cemas. Aku melihat mak memang tidak berdaya lagi. Lututnya  terketar-ketar. Bibirnya pucat. Mak memegang dahinya. Aku tahu ibu  pening. Aku bergegas mengumpul semua halia.
 
Aku tidak pernah menceritakan ini kepada  sesiapa adikku. Tapi untuk menyara kita sekeluarga ibu sanggup melawan  segalanya. Ku kira setelah itu pasti kami akan bergegas ke jalan besar  yang hampir empat kilometer jauhnya. Jangkaan ku meleset dik. Ibu  singgah sekejap di ladang getah makcik untuk mengutip paku pakis yang  hidup subur. Engkau pun tahu keadaan jalan ke kebun bagaimana. Melalui  bukit-bukau dan sebagainya. Jika ku punya badan besar dan empat tangan  seperti di dalam kartun Ben 10 pasti akan ku dukung ibu dan  tangan yang lain menjinjing karung yang berisi halia dan hasil hutan  yang lain. Waktu itu hatiku mengumpat abang kita dik.
 
Dik, akhirnya kami sampai di  rumah dengan selamat. Selalunya ibu ku kira akan terus berehat seperti  diriku. Tapi engkau juga tahu sikap ibu bagaimana. Ibu ke nurseri pokok  buah-buahan milik abang. Engkau tahu hasil dari nurseri itu tidak  seberapa. Ibu memilih beberapa pokok buah-buahan untuk di jual di pasar  esok. Aku malu bersenang-senang begitu dik. Lantas aku ke  dapur. Aku sedikit kecewa melihat piring belum berbasuh dan nasi belum  di masak. Aku geram lalu membiarkan sahaja begitu. Aku lalu turun  membantu ibu. Walau sering membantu, aku masih tidak dapat menghafal  harga setiap anak pokok itu.. Biarlah.. Memang begitu sikapku.. Aku  jarang mengambil tahu jika ia bukan hak ku. Sebab itu aku jarang merasa  kecewa. Kerana aku tahu tiada satu pun di dunia ini merupakan hak  diriku. Dirimu juga ku pinjam dari Allah.
 
Malamnya setelah mengqadha solat, aku membantu ibu mencuci halia. Ibu tertawa melihatku membasuh halia seperti membasuh piring. Siap dengan menggunakan span sekali. Adikku, terkadang bila engkau pulang bercuti engkaulah yang di suruh ibu untuk mencucinya. Tetapi engkau hilang ke padang bola. Lalu aku tanpa sepatah kata mengambil alih tugasmu. Jarang sekali engkau menunaikan permintaan ibu. Apabila aku menegur, engkau hanya mendiamkan diri dan tidak lama kemudian engkau mula bergerak membuat kerja. Itu yang aku ingat tentang dirimu.
Seingatku, aku jarang sekali meninggikan  suara kepadamu. Aku menegurmu dengan baik. Aku berusaha menjadi  seseorang yang boleh engkau banggakan. Aku tahu, rakan-rakanmu cemburu  melihatmu mempunyai saudara kandung seperti ku. Terkadang ku lihat  mereka menghormatiku lebih dari mereka menghormati saudara mereka  sendiri. Adikku, jangan risau. Aku bersyukur kerana engkau adikku.
 
Setelah solat subuh, aku menggagahkan  diri menyiapkan sarapan untuk ibu. Aku juga menyediakan bekal air untuk  ibu. Setelah itu aku mengangkat jualan ibu ke tepi jalan. Kalian pada  waktu itu menyambung tidur setelah solat subuh. Terkadang abang yang  seorang lagi membantuku. Kerana keletihan pada hari kelmarin, aku  menyambung tidur.
Adikku, masihkah engkau ingin aku mencari  kerja di luar sana? Adikku. Tidak mengapa jika engkau tidak  menyedarinya. Aku juga tidak mahu engkau terhutang budi.
 
Adikku, selama diri ini membantu ibu  menyara keluarga, diri ku insaf. Dulu aku juga sepertimu. Sering meminta  wang. Tapi aku menggunakannya untuk mengisi perut. Beza antara aku  dengan dirimu, dahulu aku belajar menggunakan apa yang ada. Seingatku  aku hanya mempunyai beberapa buah buku rujukan milik sendiri. Yang  lainnya adalah milik abang kita. Itupun formatnya telah tidak di gunakan  lagi.. Aku belajar Bahasa Inggeris menggunakan buku MUET dan Level O.  Padahal aku baru Tingkatan 5.
 
Kerana keadaan keluarga kita yang tidak  seberapa, engkau memasuki asrama. Tetapi tidak lama kemudian engkau  keluar dari asrama itu. Aku faham. Kerana aku juga pernah tinggal di  sana. Mesti engkau penat dan sering tertidur di kelas. Aku menawarkan  diri untuk membantumu belajar. Terutamanya Bahasa Inggeris. Tetapi  engkau menolak. Jika engkau belajar di ruang tamu, aku menemanimu. Dalam  fikiranku, kalau ada apa-apa pasti dia akan bertanya padaku. Semua  orang telah tidur pada waktu itu. Hanya kita berdua yang berjaga. Aku  membaca buku agama sambil mencuri-curi pandang padamu. Aku kecewa.  Engkau leka melayan SMS. Aku menyuruhmu menghentikannya dan mengugut  akan mengambil simcard. Engkau terdiam.
Beberapa hari kemudian aku melihatmu semakin menjauhkan diri daripada handphone.  Aku gembira. Tetapi aku kasihan bila engkau mengatakan engkau menangis  kerana rindu kepada teman wanitamu. Aku berlembut hati dan memberi  kelonggaran sedikit. Boleh mesej tapi bukan selalu.
 
Bila SPM telah tiba, engkau tinggal di  asrama. Aku kecewa. Kerana semasa engkau berada di rumah engkau selalu  menolak khidmatku untuk mengajarmu. Aku bertambah kecewa apabila setiap  kali mesej yang engkau kirim selama engkau di asrama bukan apa-apa. Cuma  mesej meminta perkongsian kredit sebanyak RM 1.00. Terkadang aku  memberi. Terkadang aku abaikan kerana tidak mahu engkau hanyut dengan  cinta manusia itu. Kreditku juga diisi oleh seorang yang misteri.  Seperti yang ku katakan tadi, aku tahu tiada satu pun yang menjadi hak  ku di dunia ini. Jadi ku biarkan ia juga menjadi rezeki mu.
 
Adikku, aku kecewa lagi apabila keputusan SPM keluar. Tetapi aku lebih kecewa bila engkau tidak menjaga solatmu.
Sayang, suatu ketika dahulu sebelum abang kita memberimu handphone N95 itu engkau sering meminjam handphone ku yang tidak seberapa ini. Sehingga pada suatu hari handphone ini di masuki virus akibat aktiviti bluetooth-membluetooth yang engkau lakukan. Pada ketika itu handphone ku tiba-tiba tidak boleh berfungsi. Engkau takut separuh mati sehingga takut untuk memberitahuku. Apabila aku meminta handphone  itu, engkau membawa ia ke sana dan ke sini. Engkau kira aku akan marah.  Adikku, aku bukan mahu engkau takut padaku. Aku menyedari hal itu dan  dengan tenang berkata "Biarkanlah handphone tu macam tu. Nanti dia ok  lah jugak". Engkau menikus. Aku cuma tersengih. Padahal aku juga tidak  tahu sampai bila ia akan terus berkeadaan begitu kerana semasa itu  berlaku dulu, ia mengambil waktu berminggu-minggu untuk pulih.  Alhamdulillah ianya tidak lama. Cuma sejam barangkali. Sentiasalah  bersangka baik pada Allah.
 
Adikku, mungkin aku tidak sempurna. Aku  merasa tidak berguna bila engkau dengan nada menyindir menyuruhku untuk  mencari kerja. Aku merasa hormatmu padaku telah berkurangan. Adakah  engkau malu pada teman-teman punya kakak yang hanya terperuk di rumah?
 
Adikku, tanpa diduga aku dipanggil untuk  bekerja tidak lama selepas itu. Aku gembira. Ku kira inilah masanya  untuk menjadi seperti apa yang kau inginkan. Adikku, tahukah engkau apa  yang terjadi? Diri ini berjumpa dengan berbagai ragam manusia. Adikku,  kerja di luar rumah itu tidak sesuai untuk diriku. Lalu aku berhenti  kerja. Dan aku terkejut apabila engkau dan abang mengatakan aku telah  berubah. Aku menjadi kasar dan biadap. Aku terkejut. Mungkin kerana  pergaulan dengan teman-teman. Kerana kerja itu juga, Quran ku tidak  terjaga. Mungkin kerana melihat perubahanku itu engkau tidak lagi bising  soal kerja.
Adikku, dahulu aku juga ingin bekerja.  Tapi aku risaukan ibu. Lalu aku ketepikan niat itu. Adikku, dahulu aku  ingin membuat pinjaman untuk berniaga. Tetapi ibu membantah. Lalu aku  mengalah. Adikku, dahulu aku ingin bercinta. Tetapi aku mencari lelaki  yang baik dan serasi dengan dirimu. Jika engkau tidak suka, aku akan  membiarkan ia pergi. Adikku, aku sayang padamu. Beberapa kali aku  bertanya dengan nada bergurau, "Aku sayang engkau. Engkau sayang aku ke  tak?" Engkau dengan selamba berkata "Tidak". Aku hanya tersengih.
 
Adikku, hari itu aku pening. Lalu  berhenti sebentar di hadapan pintu sambil menyandarkan kepala. Engkau  tersenyum-senyum lalu menggenggam kepalaku dengan kuat sekali. Setelah  itu engkau hantuk-hantukkan ke pintu. Aku tahu engkau bergurau. Aku  tidak dapat mengawal imbangan badan lagi. Lalu jatuh terkulai ke lantai.  Semasa jatuh kepalaku terhantuk di sebuah kotak besi. Pandanganku  gelap. Kepalaku sakit. Tolong jangan bergurau seperti itu lagi adikku.

No comments:
Post a Comment