Persahabatan Rasulullah S.A.W dengan Abu Bakar adalah contoh terbaik  umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Ia sewajarnya dijadikan  panduan bagi umat Islam memilih kawan yang baik. Keutamaan Abu Bakar di  mata Rasulullah dijelmakan menerusi sabda Baginda bermaksud: "Jika  ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekaliannya, nescaya  akan berat lagi keimanan Abu Bakar." [Hadis riwayat al-Baihaqi]
Rasulullah S.A.W juga meluahkan isi hatinya kepada Abu Bakar seperti dinaqalkan dalam buku susunan Syed Ahmad Semait, Sepuluh Yang Dijaminkan Masuk Syurga, katanya: "Semoga  Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkanku  ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang  lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain  mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku sedang  dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun  sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat  olehmu."
"Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu  diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa  kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat  membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun  peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya  yang busuk." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah S.A.W juga telah menggariskan beberapa perkara bagi  memilih teman atau kawan yang baik, antaranya : Hendaklah bersahabat  dengan orang yang bertakwa dan beriman Sabda Baginda bermaksud: "Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa." [Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi]
1) Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya
Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Jauhilah  kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali  sepertinya." Sabda Baginda lagi : "Seseorang itu berada atas cara 
 hidup  kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang  didampinginya." [Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud]
 2) Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar
Ubaidah Ibn As-Samit berkata: "Rasulullah S.A.W mengikat janji  dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang, yang  disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali ada  bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana  saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang  suka menghina, semata-mata kerana Allah." [Hadis riwayat Muslim]
 3) Membantu kawan ketika kesempitan
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Seorang  Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya  dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas  hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu  kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada  kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban)  saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Begitulah antara saranan-saranan Rasulullah S.A.W kepada  kita untuk memilih rakan yang benar-benar ikhlas dan baik untuk  dijadikan teman. Sesungguhnya manusia sering lupa dan justeru itu punyai  rakan yang baik serta sering mengingatkan kita kepada kebaikan dan  mencegah kita daripada melakukan kemungkaran adalah merupaakan satu  bonus untuk kita agar kita dapat menjadi insan yang benar-benar  bertakwa.
Wednesday, 17 August 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment